Dipetik dari BERNAMA..:
KUCHING, 14 April (Bernama) — Jawatankuasa Tertinggi Persatuan Gereja Sarawak hari ini melahirkan rasa kesal atas tindakan pakatan DAP-PAS-Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengadakan sidang media berhubung perjumpaan mereka serta menimbulkan isu kontroversi mengenai kitab Injil di sebuah hotel di sini.
Setiausaha Agung persatuan Ambrose Linang berkata perjumpaan itu hanyalah majlis sarapan yang diadakan pagi ini secara tertutup dan pembangkang telah bersetuju dengan permintaan persatuan agar tiada sidang media diadakan berhubung perjumpaan itu.
"Persatuan kami menerima jemputan daripada Pengerusi PKR Selangor Teresa Kok semalam untuk bersarapan bersama-sama, dan kami bersetuju dengan syarat tiada perbincangan berkenaan politik dilakukan, kerana kami adalah non-partisan.
"Sejurus tamat majlis tersebut kami terus beredar. Namun saya kesal kerana diberitahu bahawa mereka (pembangkang) telah mengadakan sidang media, walhal perkara ini (tidak mengadakan sidang media) telah dipersetujui bersama," katanya ketika dihubungi.
Ambrose berkata pihaknya akan meneliti perkara itu, dan jika didapati kenyataan yang dikeluarkan pakatan pembangkang mempunyai unsur politik serta berkait dengan perjumpaan itu, pihak gereja akan mengeluarkan kenyataan rasmi.
"Sebelum kami buat pertemuan, saya telah bincang dengan Teresa bahawa kami ahli gereja tidak mahu membuat sebarang sidang media, dan kami juga harap mereka tidak akan mengadakan sidang media, sebab kami tidak mahu ada pihak putar belit," katanya.
Namun, sejurus tamatnya majlis bersarapan itu, pakatan pembangkang telah mengadakan sidang media. "Kalau nak jumpa untuk berkenalan sahaja, itu tidak menjadi masalah kerana kami adalah ahli gereja, non-partisan. Kami bersedia duduk semeja dengan mana-mana pihak termasuk seperti perjumpaan semalam dengan Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak)," katanya.
Perjumpaan itu dihadiri lapan ahli jawatankuasa persatuan dan pemimpin kanan pakatan pembangkang seperti Presiden PKR Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng, bapanya yang juga veteran DAP Lim Kit Siang.
Credit to BERNAMA
No comments:
Post a Comment