PENGKHIANAT NEGARA 1

SAKA A SAMAD SAID

Thursday, December 22, 2011

Formula yang baik untuk merampas kerusi DUN Pasir Panjang

Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir mengesahkan MIC akan menyerahkan kerusi dewan undangan negeri Pasir Panjang kepada Umno dalam satu proses pertukaran kerusi.

"Ini sudah dipersetujui MIC," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco, di sini pada Rabu.

Zambry bagaimanapun enggan mendedahkan kerusi yang akan diserahkan Umno kepada MIC sebagai ganti.

Sebelum ini, ada desakan daripada pemimpin akar umbi agar kedua-dua parti itu bertukar kerusi memandangkan kawasan Pasir Panjang didominasi pengundi Melayu.

Pada pilihan raya umum 2008, calon MIC Dr S. Vasan tewas kepada Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin dari PAS dengan majoriti 4,474 undi.

Mengulas perkara berbeza, Zambry berkata Barisan Nasional (BN) Perak telah mula mengenal pasti calon berpotensi bagi pilihan raya umum ke-13 dan proses itu akan dilakukan secara berterusan.

"Kami telah mengenal pasti sebahagiannya dan akan meneruskan proses untuk yang selebihnya. Kita juga telah menggerakkan calon berpotensi di akar umbi. Saya rasa penduduk kawasan terbabit telah merasai kehadiran mereka ini," katanya.

Mengenai isu anggota Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) yang bertindak menurunkan bendera dengan gambar Perdana Menteri kerana membantah Akta Universiti dan Kolej Universiti baru-baru ini, Zambry berkata pergerakan itu perlu minta maaf kepada Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau juga menyifatkan perbuatan tersebut tidak beradab dan bertentangan dengan prinsip kenegaraan.

"Walaupun saya berpendirian kebebasan bersuara mahasiswa tidak boleh disekat, namun saya percaya ia perlu dilakukan dalam lingkungan adab.

"Kalau dia jadi mahasiswa konstruktif yang berpegang kepada nilai-nilai budaya dan semangat mahasiswa yang sentiasa ada adab, maka dia perlu mohon maaf," katanya.

- BERNAMA

No comments:

Post a Comment


Anti Jumud 2011-2012 © All Rights Reserved
Best View With Mozilla Firefox